Tebatan banjir, alam sekitar dan liputan internet

Antara titah seruan KDYMM Pemangku Raja Pahang

- Advertisement -

SAYA menjunjung kasih titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 semalam. 

- Advertisement -

Saya sambut baik titah seruan Baginda berkaitan projek-projek tebatan banjir, sistem saliran dan sistem amaran bencana yang perlu dilaksana dengan cepat. 

Peruntukan yang telah diluluskan melalui RMK12 dan Belanjawan 2022 sama ada berkaitan banjir mahupun pembangunan lain perlu dimanfaatkan dengan segera untuk kebaikan rakyat. Baginda tidak mahu adanya kelewatan pelaksanaan apatah lagi projek sakit di Negeri Pahang. 

Saya juga sambut baik titah Baginda agar pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing dalam memelihara flora, fauna, tanah dan bumi di Negeri Pahang. 

Baginda sendiri sedang memulakan pelbagai usaha ke arah tersebut dan mahu ia disambut oleh semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan. 

Baginda memuji langkah-langkah yang telah diambil setakat ini seperti penambahan kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 7,000 hektar dan mahu langkah-langkah seterusnya dipertingkatkan. 

Selain itu, saya juga memuji titah seruan Baginda agar keluasan dan kelajuan capaian internet terus dipertingkatkan di negeri ini. 

Kawasan-kawasan luar bandar atau pedalaman tidak boleh ketinggalan terutama pada ketika negara sedang dalam penyediaan infrastruktur capaian 5G. 

Akhir sekali, sebagaimana titah KDYMM Tuanku, saya juga rakamkan pujian kepada kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar dalam memberi perhatian kepada kebajikan rakyat. 

Ini termasuk dalam meringankan beban rakyat berikutan krisis pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang banyak meninggalkan kesan. 

Saya menyanjung kasih atas keprihatinan Baginda dalam pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. 

Daulat Tuanku.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -