Banjir kilat Jln. Raja Uda dijangka diatasi

Admin
KETUA Menteri dibawa melawat kawasan parit yang hampir roboh dan bakal dinaiktaraf Kerajaan Negeri sempena lawatan kerja sehari di kawasan Bagan baru-baru ini di sini. Gambar : MOHD HAFIZ TAJUDIN
KETUA Menteri dibawa melawat kawasan parit yang hampir
roboh dan bakal dinaiktaraf Kerajaan Negeri sempena lawatan
kerja sehari di kawasan Bagan baru-baru ini di sini. Gambar :
MOHD HAFIZ TAJUDIN

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAGANProjek menaiktaraf parit bernilai hampir RM1 juta hasil insiatif Kerajaan Negeri berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Kwang Hwa Jalan Raja Uda, di sini dijangka dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika lawatannya berkata, masalah tersebut dikenalpasti berpunca daripada keadaan parit yang hampir roboh dengan struktur dinding konkritnya tidak lagi kukuh.

“ Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 juta bagi menaiktaraf parit ini yang hampir roboh dan tidak kukuh hingga menyebabkan sering berlakunya kejadian banjir kilat . Malah , kedudukannya yang berhampiran dengan kantin sekolah turut merbahayakan keselamatan para pelajar di sini.

“Diharap usaha penaiktarafan ini dapat mengurangkan masalah banjir kilat yang dihadapi pihak sekolah dan juga penduduk setempat,” ujarnya pada lawatan kerja sehari di kawasan Bagan baru-baru ini di sini.

Dalam pada itu, tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengurangkan kejadian banjir kilat yang melanda di Pulau Pinang.

“Program mengatasi masalah banjir menjadi perhatian Kerajaan Negeri, masyarakat Pulau Pinang umumnya boleh melihat sendiri apabila berlakunya keadaan hujan lebat, kes banjir amat jarang berlaku kini.

“Ini menunjukkan bagaimana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat komited menangani masalah ini apabila parit diselenggarakan dengan sempurna dan Jalan Raja Uda sepanjang empat hingga lima kilometer turut dilebarkan,” ujarnya.

Hadir sama pada lawatan kerja sehari bersama Ketua Menteri ialah Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Jait dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Jusni Ismail.